KESIHATAN REMAJA
Pengenalan
Program Kesihatan Remaja dibentuk pada tahun 1996 di bawah perkembangan skop Program Pembangunan Kesihatan Keluarga. Program ini diwujudkan bagi membangun dan memperkukuhkan perkhidmatan kesihatan untuk golongan remaja selaras dengan matlamat, objektif dan strategi yang ditetapkan dalam Dasar Kesihatan Remaja Negara.
Tujuh strategi telah digariskan dalam usaha untuk mencapai matlamat Dasar Kesihatan Remaja Negara iaitu penggalakkan kesihatan; perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sesuai dan mudah diperoleh; pembangunan sumber manusia; sistem maklumat kesihatan remaja;menggalakkan penyelidikan; mewujudkan kerjasama strategik dengan agensi berkaitan; dan menyokong perundangan yang menggalakkan kesihatan remaja.
Definisi
Remaja ditakrifkan sebagai golongan yang berusia di antara 10 hingga 19 tahun (WHO, 1993).
Peringkat Remaja boleh dikategorikan seperti berikut
( Johnson, 1989):
Peringkat Awal
10 tahun – 14 tahun
Peringkat Pertengahan
15 tahun – 17 tahun
Peringkat Akhir
18 tahun – 19 tahun
Kesihatan Remaja ditakrif di bawah Dasar Kesihatan Remaja Negara sebagai kesejahteraan dari segi fizikal, sosial, mental dan rohani yang membolehkan golongan remaja menjalani kehidupan yang sihat dan harmoni dalam persekitaran yang turut menyokong sebagai persediaan ke arah kesihatan optimum ketika dewasa.
Visi
Remaja akan menikmati kehidupan yang sejahtera, berkualiti dan diperkasakan dengan pengetahuan dan kemahiran untuk mengamalkan tingkahlaku yang sihat.
Misi
Menyediakan perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh dan optima serta sokongan yang mencukupi untuk remaja, melalui peningkatan kesedaran, pengetahuan, kemahiran dan kerjasama antara agensi dengan masyarakat serta penglibatan remaja yang aktif dalam perancangan dan pelaksanaan perkhidmatan kesihatan.
Objektif Am
Merancang dan menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada semua remaja yang merangkumi aspek fizikal, mental, sosial dan spiritual untuk memperkasakan remaja ke arah pengamalan tingkahlaku yang sihat.
Objektif Khusus
1. Menyokong pembinaan golongan remaja yang bersemangat waja dengan menggalakkan cara hidup yang sihat dan bertanggungjawab.
2. Mencegah gejala kesihatan akibat tingkahlaku berisiko dengan menggalakkan cara hidup yang sihat dan menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bersesuaian.
3. Menggalakkan penyertaan golongan remaja secara aktif dalam aktiviti penggalakan kesihatan dan pencegahan.
Perkhidmatan Kesihatan Remaja
Pada tahun 2004, sebanyak 362 (42%) klinik kesihatan menjalankan perkhidmatan kesihatan remaja berbanding 341 (39%) klinik kesihatan pada tahun 2003. Bilangan remaja yang datang mendapatkan perkhidmatan di kemudahan kesihatan juga bertambah daripada 508, 292 orang pada tahun 2003 kepada 711,082 orang pada tahun 2004. Seramai 11,887 remaja telah diberi kaunseling dan 2,102 orang remaja telah dirujuk ke hospital atau lain-lain agensi untuk rawatan lanjut.
Pada tahun 2005, Buku Garispanduan Pelaksanaan Perkhidmatan Kesihatan Remaja di Peringkat Kesihatan Primer telah diedarkan kepada semua negeri sebagai panduan dan rujukan bagi anggota kesihatan yang menjalankan perkhidmatan kesihatan untuk remaja di peringkat kesihatan primer.
Konsep Perkhidmatan Kesihatan Remaja
Konsep perkhidmatan kesihatan remaja adalah istilah yang digunakan bagi menggambarkan klinik-klinik kesihatan yang memberikan perkhidmatan kesihatan remaja.
Takrifan Perkhidmatan Kesihatan Remaja
Sesebuah klinik ditakrifkan sebagai menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Remaja sekiranya klinik tersebut menjalankan perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan berikut:
Perkhidmatan Promosi dan Pendidikan Kesihatan Remaja
Perkhidmatan Saringan Kesihatan Remaja.
Perkhidmatan Perawatan Remaja
Perkhidmatan Khidmat Nasihat/ Kaunseling Remaja
Perkhidmatan Rujukan
Perkhidmatan Optional
Selain dari itu, klinik-klinik yang menyediakan Perkhidmatan Kesihatan Remaja juga digalakkan untuk menjalankan perkhidmatan optional lain seperti:
Aktiviti kecergasan fizikal berkelompok remaja
Kaunseling pemakanan remaja
Kaunseling berkelompok / kaunseling keluarga
Promosi kesihatan remaja seperti pameran kesihatan, Seminar kesihatan, kem kesihatan masyarakat dan sebagainya
Kelab remaja, kelab kesihatan, PROSTAR dan seumpamanya.
Skop Perkhidmatan Kesihatan Remaja di Klinik Kesihatan
Skop dalam perkhidmatan kesihatan remaja di klinik kesihatan meliputi aspek promosi, pencegahan, saringan, kaunseling, perawatan dan rujukan. Skop perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan adalah seperti berikut:
Perkhidmatan Kesihatan Pertumbuhan dan Perkembangan.
Perkhidmatan Kesihatan Pemakanan.
Perkhidmatan Kesihatan Mental.
Perkhidmatan Kesihatan Seksual dan Reproduktif.
Perkhidmatan Kesihatan Tingkah Laku Berisiko.
Perkhidmatan Kesihatan Fizikal.
PROMOSI KESIHATAN REMAJA
Beberapa bahan pendidikan berkaitan kesihatan remaja telah dihasilkan dan diedarkan ke seluruh negara seperti berikut:
Buku-buku kecil bertajuk Rahsia Remaja
Manisnya Menjadi Gadis
Cabaran Menjadi Teruna dan Mencari Cinta
Flip Chart Adolescence Health Care.
Manual Adolescence Health Care- Adolescent Health Needs
Manual Counselling the Adolescent
Dasar Kesihatan Remaja Negara
Buku Garispanduan Pelaksanaan Perkhidmatan Kesihatan Remaja di Peringkat Kesihatan Primer
Perancangan Masa Depan
Memperkukuhkan Program Kesihatan Remaja melalui penyediaan perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan mesra remaja, latihan yang berterusan untuk anggota kesihatan di semua peringkat , menyediakan bahan-bahan promosi dan pendidikan kesihatan yang bersesuaian.
Membentuk Pelan Tindakan Kesihatan Remaja Kebangsaan yang sejajar dengan strategi-strategi yang telah digariskan dalam Dasar Kesihatan Remaja Negara.
Memberi perkhidmatan kepada remaja dengan lebih teratur, seragam, berkualiti dan mesra remaja
Menyepadukan tindakan individu dengan tindakan masyarakat bagi membolehkan golongan remaja membuat pilihan yang bijak ,membina kemahiran menangani risiko, mengamalkan cara hidup yang sihat, bertanggungjawab dan membantu mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan remaja.
Mewujudkan kerjasama dan rangkaian kerja yang kukuh di
kalangan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi yang berkaitan melalui konsep perkongsian bijak serta tanggungjawab bersama.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment